Monday, April 5, 2010

Sesegar Angin Tebrau (Episode 1)

Fazrul tersandar penat di pejabatnya, menyela nafas lega setelah tugasan yang sejak seminggu yang lalu diusahakan dengan bertungkus-lumus akhirnya diterima Dato’ Amran. Sekilas terpandang kad jemputan majlis pernikahan dari sahabat lamanya ketika belajar di Imperial College London tujuh tahun lalu. Sambil menyegarkan tubuh dengan meneguk sedikit air kopi yang telah sejuk di atas meja di biliknya, dia terkenang saat-saat indah dan manis sepanjang di alam kampus dahulu, pelbagai judul kisah telah terbuku dalam benak fikirannya yang terkadang membuat dia tersenyum dan terkadang membuat hatinya tersedu seorang diri. Namun semua itu berjaya diselindung oleh senyuman yang sedayanya diukirkan seikhlas mungkin. Ternyata semua cerita suka dan duka yang telah dilalui tersimpan kemas dalam memori Fazrul.

Lamunan Fazrul disedarkan oleh alunan azan zuhur di kota metropolitan yang tidak pernah sepi dengan pelbagai kerenah warga yang terkandung di dalamnya. Dato’ Amran, pemilik Segar Environmantal Consultancy sangat mementingkan soal ibadat setiap warga kerjanya. Setiap kali waktu solat, semua pekerja harus ke Masjid Al-Bait di bangunan yang berdiri megah di selatan Bandaraya Johor Bahru yang menjadi lambang kejayaan anak bangsa. Fazrul melangkah mengunci kamar peribadinya sebagai Jurutera Eksekutif di syarikat ternama itu seraya bergerak bersama sahabat-sahabat yang lain untuk menunaikan perintah Ilahi. Panorama dari kaca tingkap lif lutsinar Menara Segar sungguh indah berlatar belakangkan suasana di Selat Tebrau yang telah dirawat dan dibaikpulih dengan usaha keras syarikat Segar Environmental yang telah diamanahkan oleh kerajaan bermodalkan janji dan harapan daripada rakyat. Selat Tebrau yang dahulunya tercemar teruk akibat aktiviti rakus manusia yang mengejar kekayaan dunia juga telah menjejaskan warga nelayan dan penduduk sekitar yang sejak beberapa generasi yang lalu menjadikannya sebagai ladang rezeki.

Bahu Fazrul ditepuk dan disapa oleh sahabat karibnya ketika di dalam lif, yang dikenali sejak di universiti lagi juga mempunyai semangat juang dan minat yang sama dengannya memeperjuangkan alam sekitar dan nasib mereka yang teraniaya akibat pencemaran alam sekitar, “termenung nampak? Siapa yang ko ingatkan ni ha Fazrul” sambil tersenyum sinis. “Takkan si Khalis lagi kut?” tambah Razif dengan ketawa kecil. Air muka Fazrul mula merah padam, nama Khalis membuatkan Fazrul seolah lemah dan berdebar-debar……………………………………………….. bersambung